UIA Akan Kenakan Tindakan pada Pelajar Sertai Himpunan 1 Mei

019092006KUALA LUMPUR – Pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana pelajar UIAM yang terlibat menyertai himpunan aman bantah GST di Dataran Merdeka 1 Mei baru-baru ini.

Menurut Presiden UIAM, Tan Sri Rais Yatim beliau menegaskan bahawa setelah undang-undang GST telah dipersetujui oleh majoriti ahli Parlimen, ia tidak boleh dicabul dan apa sahaja yang mahu dilakukan seharusnya mengikut lunas perundangan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program “Planting for the Future” di kampus UIAM baru-baru ini. Beliau mengingatkan bahawa mahasiswa perlu sedar tugas mereka adalah menuntut ilmu dan memenuhi harapan ibu bapa, bukan untuk berpolitik kerana mahasiswa ada tempatnya jika mahu berpolitik.

Dalam pada itu, menurut Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Abdul Malik, beliau berkata mahasiswa tidak takut dengan ugutan pihak pentadbiran yang disifatkannya sebagai tindakan murahan yang dipengaruhi oleh parti politik.

“Setakat tindakan undang-undang kami tak takut. Rakyat merana dengan peningkatan cukai dan kos sara hidup, ini lebih teruk dibandingkan dengan tindakan yang dikenakan terhadap kami.

“Apa perlu takut, kita semua dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan hak berhimpun kepada seluruh rakyat Malaysia. Mahasiswa sudah basi dengan perangai pihak pentadbiran yang mahu menakut-nakutkan kami ini,” ujarnya yang turut merupakan mahasiswa UIAM.

Kata beliau, mahasiswa akan terus konsisten bersama rakyat menentang sebarang kezaliman oleh kerajaan korup. GAMIS akan terus memberi penerangan kepada masyarakat supaya hak-hak rakyat dibela.

Kira-kira lebih 5000 mahasiswa dari seluruh negara turun bersama dengan lebih 100,000 rakyat ke Himpunan Bantah GST di Dataran Merdeka pada 1 Mei baru-baru ini.

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!