Zulfarhan, Tenanglah Dikau Di Alam Barzakh

 

1. Tarikh 3 Jun 2017 menjadi satu tarikh yang memilukan bagi seluruh rakyat Malaysia di atas insiden yang meragut nyawa seorang mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain. Peristiwa tragis yang menimpa arwah Zulfarhan sehingga meninggal dunia ini perlu diambil iktibar oleh semua pihak tidak kira daripada hegemoni atasan mahupun rakyat bawahan.

2. Acapkali kita digemparkan dengan kes-kes sebegini namun tindakan susulan yang diambil oleh pihak berkuasa tidak berjaya memberi implikasi positif kepada para pelaku kes-kes buli yang lain. Antara rekod kes buli yang menyebabkan kematian adalah seperti kes di Sekolah Menengah Teknik Cheras (1998), Sekolah Agama Datuk Kelana Petra Ampangan Negeri Sembilan (2004) dan Program PLKN di Kem Pelangi Muadzam Shah (2013).

3. Insiden-insiden yang berlaku saban tahun ini seharusnya menyedarkan kita semua khususnya pihak kerajaan sedia ada bahawa undang-undang Barat yang diimplementasikan di dalam sistem perundangan persekutuan kita pada hari ini tidak mampu memberikan pendidikan holistik kepada rakyat bawahan bahkan sebaliknya kadar statistik kes jenayah negara seolah-olah tidak menunjukkan tanda-tanda ingin mengalami penurunan.

4. Oleh yang demikian, GAMIS berpandangan bahawa kini sudah tiba masanya sistem pendidikan dan perundangan negara ini perlu kembali kepada fitrah insani yang sebenar yakni tarbiah Islam yang seimbang daripada sudut jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Masyarakat perlu dipersiapkan bermula daripada generasi muda agar mereka dapat menjadi pemangkin kepada gelombang perubahan rakyat kepada sistem pentarbiahan Islam yang sebenar.

“Melangkah Bersama Islam”

Muhammad Syukri bin Alimar Shidi
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Comments

comments

Leave Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the world!